Kembali ke Realisme yang Lebih Menyentuh

oleh Roslan Jomel, roslanjomel.blogspot.com

Salam Hormat.
Kebetulan sahaja, saya mula jatuh cinta kepada gaya penulisan Eka Kurniawan. Makanya, saya ingin sahaja tahu perkembangan terkininya dengan menembusi jaringan maya. Bagaimana saya boleh terserempak dengan laman sriti.com, pun juga suatu kebetulan. Tetapi, alam ini sebegitu cantik dan berseni, bukan diciptakan secara kebetulan. Tuhan telah mengatur dengan secanggih-canggihnya kehidupan di atas muka bumi buat manusia (yang berfikir). Tidak seperti yang disangka oleh saintis barat. Dunia ini bukan bola kimia yang terapung. Maka itu, mimpi pun terasa indah.

Setelah membuat cetakan salinan cerpen-cerpen Eka Kurniawan, saya akan memesan segelas teh tarik, dan mula membaca baris demi baris di dalam restoran India Muslim. Sebaik sahaja cerpen Caronang, Kasih Tak Sampai, Kutukan Dapur mempengaruhi saya, jangkaan saya, gaya yang sebegitu (realisme magis?) akan berkekalan mengikuti mata pena penulisannya. Saya membayangkan, Eka Kurniawan akan menjungkirkan realiti melalui cerpen-cerpen terbaharunya nanti, dan itu membuatkan saya tambah asyik menanti. Seno Gumira, penulis terkemuka Indonesia telah mengandaikan bahawa masa depan sastera Indonesia terletak atas nama Eka Kurniawan. Menurut Maman S Mahayana dalam buku Bermain Dengan Cerpen, (diubah mengikut bahasa saya sendiri) penulisan Eka Kurniawan membawa bersama-sama gaya istimewa yang khas dan sentiasa sahaja karya-karyanya memukau. Oleh kerana belum tertemui buku-buku yang memuatkan karya Eka Kurniawan di Malaysia (Novel –Lelaki Harimau, Cantik Itu Luka. Antologi Cerpen – Corat-coret Di Toilet, Cinta Tak Ada Mati, Gelak Sedih) maka saya akan mengklik laman sriti.com pada setiap hari minggu. Penantian saya bukan semata-mata kepada cerpen Eka Kurniawan, malah, saya jatuh cinta kepada cerpen-cerpen Agus Noor, Djenar Maesa Ayu, Hudan Hidayat, Hamsad Rangkuti juga Pak Budi Darma.

Bahawa gaya realisme magis yang menjadi trade mark (dengan izin) kepada setiap prosa Eka Kurniawan akan berkekalan, sebelum itu juga, saya sudah sedia maklum akan pengaruh Gabriel Garcia Marquez terhadap dirinya. Tetapi silap. Dunia telah berputar terlalu cepat, fenomena bencana alam yang ganjil dan manusia-manusianya sudah terlalu lama menderita oleh siri peperangan. Gaya yang absurd dileburkan oleh kehidupan semasa. Penulis-penulis besar antarabangsa kini kembali menjadi realis (lihat sahaja pada antologi cerpen Orang-Orang Bloomington tulisan Pak Budi Darma), atau mungkin, Mario Vhargas Llhosa yang menjadi maestronya ketika ini. Sosiobudaya yang penuh dengan permasalahannya kini, ya, kepura-puraan politik, agamawan yang tersesat, kebejatan yang lain-lainya, mungkin sahaja, mendorong dunia kontemporari ini sudah tidak peduli lagi dengan gaya satira atau mengampu-ampu pihak tertentu? Alam ini meminta karyawan seninya kembali kepada diri sendiri, mengasah mata penanya setajam dan sejujurnya demi tuntutan realiti teks sastera. Tidak terkecuali karya terbaharu Eka Kurniawan yang kebetulan saya temui di laman sriti.com. Terima kasih banyak-banyak pengelola laman sriti.com! Saya di Malaysia, berasa terhutang budi kepada pihak saudara di seberang sana.

Cerpen-cerpen Gincu ini Merah, Sayang, Sakit, Penafsir Kebahagiaan, Gerimis Yang Sederhana (terbaharu, terbit di Kompas) telah menarik pergelangan tangan saya kepada gerak-geri kehidupan manusia-manusia modennya. Rupa-rupanya ada kawan-kawan di sebelah kita dengan secebis kisah hariannya, menuntut bakat dakwat pena penulis untuk dirakam sejujurnya akan pengalaman mereka, untuk dijadikan cerpen atau pun puisi. Tak kira siapa pun mereka. Pengawal Keselamatan, kerani di kilang plastik, jurujual di pasaraya bahagian pakaian perempuan, penganggur mahu pun tukang bersih di pejabat kerajaan. Bukankah mereka ini memiliki kisah-kisah yang menarik, dan terlupa diperdalami kehidupan harian mereka? Bukankah mereka ini yang kerap ditemui setiap hari pada pandangan mata penulis? Untuk itu, saya teringat kembali puisi-puisi Allahyarham T Alias Taib.

Timbul persoalan di sini, mengapa kita terlalu beria-ia menulis sesuatu tema yang besar-besar sahaja kepada pembacanya? Lihat sahaja filem-filem dari Iran yang memaparkan kisah yang sebegitu mudah tetapi amat menyentuh jiwa penonton-penontonnya, berbanding filem-filem fantasi futuristik ciptaan Hollywood tetapi kosong jiwanya. Pada setiap kali penulis memindah pergolakan dunia antarabangsa yang tidak terjangkau oleh manusia biasa, penulis terlupa untuk merenung persekitaran tempatan dengan manusia-manusia kecilnya di celahan kotaraya. Kadang-kadang karya itu dipenuhi fakta-fakta dan maklumat-maklumat, hinggakan apabila membacanya, pembaca bertanya – “apa ini bukan karya sastera atau karya sastera ini terkorban kesan artistiknya?”. Itu khayalan saya sahaja. Apakah yang dimahukan oleh teks-teks sedemikian jikalau bukan menayangkan bayang-bayang akademiknya, supaya pembaca terasa akan kecanggihan teks karyanya? Pun itu khayalan saya sahaja. Maka maafkan saya jika bertanya sebodoh itu.

Cerpen-cerpen terbaharu oleh Eka Kurniawan, barangkali sahaja dikutip dari pemerhatian pekanya terhadap keadaan manusia-manusia sekeliling, makanya, cerpen-cerpen itu kedengarannya mudah, remeh-temeh dan lurus kerana kenaifan watak-wataknya. Mengenangkan itu, katakan sahaja teks-teks cerpen itu bernada lucu. Ya, memang terasa kelucuannya. Apatah lagi setelah saya selesai membaca Penafsir Kebahagiaan (yang berlatarkan bumi Amerika Syarikat)yang berakhir dengan penyesalan yang memedihkan hati dua orang anak beranak itu. Cuba kesani kekalutan emosi di bawah ini, yang saya petik pada penghujung cerpen itu,

“Aku tidak tahu apakah harus memanggilnya anak atau cucu,” gumam Markum, masih agak kesal.

“Aku tak keberatan menganggapnya adik,” kata Jimi.

Setelah baris demi baris dibaca, kisah yang membawa dua beranak itu datang ke bumi Amerika Syarikat, bayi yang dikandung oleh perempuan bernama Lucy atau pun Siti itu, siapakah bapanya, siapa yang akan bertanggungjawab, tetapi, begitulah detik itu dibiarkan terapung oleh Eka Kurniawan. Tiada kesudahan yang menggembirakan. Sebagai pembaca, saya amat merasa tertekan, kerana, peristiwa sebegitu, mungkinkah benar-benar berlaku? Itulah magisnya cerpen dan penulisnya sudah tentu merencanakan penyelesaiannya setragis sedemikian. Dan jikalau cerpen Gincu ini Merah, Sayang atau Gerimis Yang Sederhana dibaca, mahu tidak mahu, pembaca akan mengigit bibir bawahnya, tanda tersentuh? Kehidupan ini mudah benar kelihatan seperti teka-teki, dan seniman yang prihatin akan menggantungkan kanvas kehidupan, hitam putih atau kelabunya, sejujur mungkin. Pesanan moral? Jangan ditanya saya.

Salam hormat.